PAS Selangor nafi wakil rakyatnya akan keluar parti

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS menafikan laporan wakil rakyat dan pemimpinnya di Selangor akan keluar parti dan menyertai PKR, kata Naib Presiden PAS Iskandar Samad.
 
Iskandar berkata laporan sebuah portal berita sebelum ini berhubung perkara itu adalah khabar angin yang 'sengaja dicipta' untuk mengganggu persiapan PAS Selangor menghadapi pilihan raya.
 
"Ia juga adalah bertujuan untuk mewujudkan kegusaran di kalangan ahli-ahli agar mereka hilang tumpuan.
 
"Saya telah bercakap dengan ADUN PAS Selangor dan mereka amat terkejut dengan khabar-khabar angin tersebut," kata Iskandar dalam satu kenyataannya hari ini.
 
Sebelum ini sebuah portal melaporkan 10 dari 13 wakil rakyat PAS Selangor tidak berpuas hati dengan hala tuju parti Islam tersebut terutama sekali dengan pendirian PAS yang enggan bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"Ia adalah pelan tindakan sahaja selepas ramai antara kami yang tidak berpuas hati dengan hala tuju PAS sekarang.
 
"Kira-kira 10 dari 13 ADUN PAS di Selangor tidak berpuas hati dengan hala tuju PAS yang ada sekarang terutama selepas peralihan kepimpinan di Selangor," menurut sumber PAS.
 
Iskandar, yang juga ADUN Cempaka, menasihatkan ahli PAS untuk tidak mengendahkan khabar angin yang sedang berlegar kini.  
 
"Mereka juga tidak sepatutnya mengulangi atau menyebarkan sebarang berita yang tidak diketahui sumbernya atau kebenarannya. Sebarang berita yang berunsur spekulasi perlu diabaikan sahaja.
 
"Mereka tidak sepatutnya terperangkap dengan strategi musuh yang mahu persiapan pilihan raya PAS lumpuh. Musuh mahu melihat pimpinan dan ahli-ahli PAS curiga-mencurigai di antara satu sama lain," tambahnya lagi, yang juga merupakan bekas pesuruhjaya PAS Selangor.
 
Walaupun PAS tidak mempunyai hubungan lagi dengan DAP dan Amanah, namun parti Islam tersebut masih lagi sebahagian dari kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR.
 
Namun Pesuruhjaya PAS Selangor Sallehen Mukhyi berkata partinya tidak mempunyai sebarang hubungan politik dengan PKR sebaliknya hanya berurusan dalam hal berkaitan pengurusan negeri.
 
�PAS akan terus kekal dalam pentadbiran negeri kerana tanggungjawabnya dalam kerajaan negeri ialah untuk menjaga rakyat.
 
�Memandangkan kerajaan negeri dibentuk menerusi mandat rakyat semasa pilihan raya umum lepas, PAS, PKR dan DAP bersetuju untuk kekal dalam kerajaan negeri,� kata Sallehen Mei lepas.
 
PAS, yang kini membentuk blok politiknya sendiri dengan Parti Ikatan Rakyat Malaysia (Ikatan) yang dipanggil Gagasan Sejahtera, sebelum ini juga mengumumkan kesediaan bertanding di 42 daripada 56 kerusi DUN dan seberapa banyak kerusi Parlimen di Selangor.
 
 
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==