AGM PPBM 30 Disember ini tanpa perwakilan peringkat 'cawangan' - Kamaruddin

Oleh Athirah Hanapiah
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang bakal diadakan pada 30 Disember ini hanya melibatkan perwakilan daripada peringkat Pusat dan Bahagian sahaja.
 
Ketua Penerangannya, Datuk Kamaruddin Md Noor memaklumkan, AGM kali ini tidak melibatkan perwakilan peringkat cawangan parti memandangkan ia masih belum ditubuhkan.
 
Ketika ditanya Kamaruddin berkata perkara itu mengikut ketetapan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (RoS).
 
"Sebab diperingkat cawangan, ia belum ditubuhkan dan kita memang ada tiga peringkat, pusat, bahagian, kemudian cawangan, tetapi cawangan belum ditubuhkan lagi jadi kita buat mesyuarat agung ini yang ada sahaja dan yang ada sekarang ini ialah pusat dan bahagian.
 
"Ini mengikut ketetapan yang kita fahami daripada peraturan (RoS)," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kamaruddin dalam pada itu memaklumkan penubuhan parti diperingkat cawangan masih dalam proses. 
 
Sejurus ia ditubuhkan PPBM akan mendaftarkannya dengan RoS sepertimana peringkat Pusat dan Bahagian.
 
"Sekarang ini kita dalam proses menubuhkan cawangan-cawangan kemudian barulah didaftarkan.
 
"Tetapi cawangan masih lagi dalam proses penubuhan, jadi kita belum daftarkan lagi cawangan-cawangan ini," ujarnya lagi.
 
Terdahulu, Timbalan Presiden PPBM, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui kegagalan menyelesaikan isu berkaitan struktur organisasi akar umbi khususnya di peringkat cawangan menjadi antara punca PPBM gagal mengadakan AGM parti itu.
 
Kegagalan itu menyebabkan PPBM keliru untuk menentukan siapa yang layak menghadiri AGM terbabit, ujar Mukhriz.
 
Di saat peringkat cawangan masih belum didaftarkan, Mukhriz baru-baru ini memaklumkan PPBM akan mengadakan AGM buat kali pertama pada 30 Disember ini.
 
AGM yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di Shah Alam, Selangor itu akan dihadiri pengerusi tetap, timbalan pengerusi tetap, ahli Majlis Pimpinan Tertinggi serta 990 perwakilan daripada 137 bahagian.
 
PPBM terpaksa mengadakan AGM selepas berdepan risiko dibubarkan RoS selepas didapati melanggar tiga perlembagaan partinya sendiri.
 
Pertama, gagal mengadakan AGM, kedua menangguhkan AGM tanpa peruntukan parti dan ketiga menggunakan istilah Armada untuk sayap pemuda parti yang mana ia bertentangan dengan perlembagaan partinya sendiri.
 
Masalah dalaman PPBM ini juga turut menjejaskan pendaftaran Pakatan Harapan (PH) untuk bernaubg di bawah logo pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
 
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==