Saifuddin Harap Bekas Seterunya, Nizam Hamid Calon Di Temerloh !

PETALING JAYA: Datuk Saifuddin Abdullah, yang kalah kepada PAS di kerusi Temerloh, Pahang pada pilihan raya umum (PRU) yang lalu, yakin kerusi itu boleh dirampas daripada parti Islam itu melalui gabungan Pakatan Harapan (PH).
Bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang menyertai PKR itu turut berharap PH akan mencalonkan Ahmad Nizam Hamid sebagai calon pada PRU ke-14 yang perlu diadakan pertengahan 2018.
Nizam merupakan seterunya di Temerloh pada 2008, ketika Saifuddin masih dalam UMNO.
Bagaimanapun, pada 2013, Saifuddin tewas kepada Nasruddin Hassan dari PAS, dengan majoriti 1,070 undi.
Beliau akur dengan dapatan tinjauan oleh Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), yang mengatakan kekalahannya disebabkan oleh gelombang �ubah� yang menawan pengundi Cina.
UMCEDEL berkata 60% daripada pengundi Cina di Temerloh memberikan undi mereka kepada PAS, atas dasar mengalahkan calon Barisan Nasional (BN).
Saifuddin berkata, pengundi Cina ketika itu dipengaruhi oleh ahli keluarga lebih muda yang kebanyakannya tidak menetap di Temerloh dan tidak mengenalinya secara peribadi.
Saifuddin berharap untuk PRU yang akan datang, perlawanan 3 penjuru dapat dielakkan.
�Tetapi jika PAS memilih untuk mempertahankan kemenangan di Temerloh, masih tidak mustahil untuk Pakatan memenangi kerusi itu,� katanya.
PAS bukan merupakan sebahagian daripada PH, dan sebelum ini berkata akan meletakkan calon melawan gabungan itu di samping BN.
Saifuddin berkata sentimen pengundi Cina terhadap PAS sudah berubah.
�PAS mempunyai 2 masalah di Temerloh, iaitu Cina tidak akan mengundi untuk mereka dan ramai yang mempersoalkan komitmen ahli Parlimen sekarang, yang kerap tiada di sana. Apabila beliau ada sekali pun, kebanyakan untuk ceramah,� katanya.
Beliau mendedahkan PKR dan Amanah masih berunding untuk bertanding di kerusi itu, tetapi katanya, Temerloh adalah kerusi �yang baik untuk PKR secara semula jadi� kerana corak penduduk dan kaum di situ.
Menurut bancian Jabatan Statistik 2010, Temerloh terdiri daripada 75.7% penduduk Melayu, 15.8% Cina, 7.8% India, selebihnya kurang 1% kaum lain.
Pada 2008, Saifuddin memenangi lebih daripada 53% undian menentang Nizam.
Untuk PRU13, Nizam bertanding di kerusi Lanchang dalam Temerloh dan kalah kepada calon UMNO Mohd Sharkar Shamsudin dengan perbezaan undian sebanyak 1,100.
Bagaimanapun, Saifuddin berkata Nizam akan menjadi calon yang baik untuk bertanding di Temerloh pada pilihan raya akan datang, terutamanya dalam perlawanan 3 penjuru.
�PAS kemngkinan besar tidak akan meletakkan Nasruddin sebagai calon dan mencari calon baharu mungkin sukar, terutama jika PKR akan meletakkan �budak� Temerloh, Nizam, yang berpengalaman di situ,� katanya.
Bagi kerusi negeri dalam Temerloh pula, Saifuddin berkata beliau percaya Amanah akan mendapat sambutan baik di Kuala Semantan, dan DAP pula di Mentakab, sementara PKR atau PPBM boleh bertanding untuk Lanchang.
PAS berpengaruh besar di Kuala Semantan, tetapi Adunnya, Syed Hamid Mohamed beralih ke Amanah pada 2015.
Calon PKR sebelum ini bertanding di Lanchang, tetapi Saifuddin menyifatkannya sebagai kawasan pengaruh UMNO.
�Jadi, mungkin PPBM adalah pilihan lebih baik,� katanya.
Mentakab pula adalah kerusi campuran. Menurut Saifuddin, undian Melayu di sana hampir terbahagi kepada 2 dengan sama rata, dengan Umno yang mungkin menang tipis dan kebanyakan undian Cina akan diraih oleh Pakatan. #sumber
close
==[ Klik disini 1X ] [ Close ]==